[VIDEO] Isu Tribunal Kehakiman antara dibincang dalam pertemuan tertutup MP PH bersama PM

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Isu pembentukan Tribunal Kehakiman menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan dalam pertemuan tertutup Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

**media[3201634]**

"Azalina juga hadir untuk beri penjelasan berkaitan," kata Menteri Komunikasi itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai pertemuan tertutup yang berlangsung lebih satu jam di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Isnin.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Pantai bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran mesyuarat dan meminta pemberita menunggu pada sidang akhbar mingguan pada Rabu ini.

"Saya percaya apa yang disampaikan Anwar diterima baik oleh Ahli Parlimen PH," jelas beliau.

Sementara itu, Anwar ketika didekati pemberita menunjukkan tanda isyarat tangan bagus.

" 'Very good'. Ke Shah Alam," katanya ringkas.

Terdahulu, pertemuan yang berlangsung jam 4.30 petang itu turut dihadiri antaranya

Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut kelihatan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Amiruddin Harun.

Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu.

Ia bertujuan menyelaras pemahaman dalam kalangan wakil rakyat PH berhubung beberapa isu semasa yang menjadi perhatian, termasuk cadangan dasar percukaian, spekulasi penstrukturan semula subsidi RON95, serta proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang sedang berlangsung.